BINTULU, 28 Jan : Seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam keadaan tertiarap selepas terjatuh ke dalam parit di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak di sini petang semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 4 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati mangsa sedang tertiarap di atas permukaan tanah berhampiran kebun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ekoran insiden itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang, kaki dan tangan kanan.
“Pasukan kemudian menggunakan pengusung untuk mengangkat mangsa ke jalan besar dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya. -TVS