BINTULU, 26 Jan : Operasi Patuh yang dilancarkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di dua kedai di bandar ini berjaya merampas beberapa bahagian hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Menurut kenyataan SFC, antara yang dirampas termasuklah seekor tenggiling yang diawet, 74 helai bulu burung ruai, empat helai bulu burung kenyalang, tiga unit batu karang dan seunit rahang ikan yu.
” SFC ingin memberi peringatan bahawa aktiviti menjual dan memiliki hidupan liar adalah melanggar Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998,” kata kenyataan berkenaan.
Tambah kenyataan berkenaan, kesemua rampasan berkenaan dibawa ke pejabat SFC wilayah Bintulu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang menangkap, memburu, berniaga atau memelihara hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya boleh menghubungi talian SFC iaitu 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu) atau 019- 8290994 (Miri).-TVS