Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah diarah meneruskan projek MARA Digital bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: BERNAMA

Kerajaan pertimbang kelonggaran SOP untuk pelancong, jika proses dos penggalak selesai

ByBernama

PUTRAJAYA, 25 Jan : Kerajaan akan mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) sekiranya proses vaksinasi COVID-19 di negara ini selesai, termasuk bagi dos penggalak, kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam ucapannya pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini pada hari ini, beliau berkata perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita lihat kalau dua dos vaksin COVID-19 dan ‘booster’ (dos penggalak) selesai, saya percaya kita boleh berikan sedikit lagi kelonggaran, dan ini terpulang kepada KKM untuk berikan pandangan, “ katanya.

Ismail Sabri berkata sekiranya SOP terlalu ketat, ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

Beliau berkata walaupun pelancongan domestik telah dibuka, pelancong antarabangsa masih belum dibenarkan masuk ke negara, dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan.

Menurutnya, sesetengah negara telah melonggarkan SOP untuk pelancong ke negara mereka dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.

“Sebab itulah kita ingat kalau rakyat kita telah diberikan ‘booster’, kita boleh relaks sikit dari segi SOP,” katanya.

Ismail Sabri berkata ketika ini, kerajaan masih lagi berhati-hati dalam membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19.

Walaupun Laluan Perjalanan Vaksinasi Lengkap (VTL) Malaysia dan Singapura telah dilaksanakan, dan perbincangan VTL dengan Indonesia dan Thailand telah dimulakan, namun berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat di luar negara, Malaysia masih menggantung pergerakan ke luar negara, katanya.

Beliau berkata pembukaan industri pelancongan antarabangsa akan dapat memulihkan ekonomi seterusnya menjadikan keadaan negara bertambah baik. 

Sementara itu, Ismail Sabri mengulangi kenyataan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi bagi menyekat pergerakan rakyat dan sektor perniagaan.

“Ada khabar angin yang menyatakan apabila raya nanti, orang tidak boleh balik kampung dan perniagaan ditutup. Saya telah umumkan raya boleh balik kampung dan sambutannya begitu tinggi,” katanya.

Pada Ahad semasa di Bera, Pahang, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Beliau berkata, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilaksanakan di kawasan terbabit sahaja. – TVS

Tags: #bm, sop

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan