Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

COVID-19 bukan lagi alasan, kelewatan projek rakyat perlu ditangani

ByOdleen Catherny

KUCHING, 25 Jan : Kerajaan Sarawak tidak mahu pandemik COVID-19 masih menjadi alasan bagi kelewatan projek rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penjawat awam khasnya perlu mengikhtiarkan usaha untuk menangani isu-isu kelewatan projek.

“Sekarang, dengan kes-kes COVID-19 di Sarawak yang sudah rendah, saya tidak boleh lagi memaklumkan kepada rakyat bahawa isu-isu kelewatan projek adalah disebabkan oleh virus itu.

“Progres projek perlu berjalan seperti yang sudah dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Hari Perkhidmatan Awam 2022 di sini pada hari ini.

Abang Johari menegaskan Sarawak memerlukan perkhidmatan awam yang berkebolehan untuk bertindak pantas bagi mempercepatkan pertumbuhan negeri.

“Saya ambil maklum bahawa hingga kini masih banyak projek rakyat yang lambat untuk siap, dan ini memberi kesan kepada pembangunan negeri.

“Saya berharap pihak jentera pentadbiran negeri mengambil maklum terhadap perkara ini,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan penelitian semula prosedur dan birokrasi sedia ada yang tidak lagi relevan untuk diguna pakai dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sekiranya ada keperluan untuk rombak semula prosedur, maka bertindaklah mengikut kesesuaiannya,” katanya lagi.

Beliau mengambil contoh, kelewatan projek Jambatan Marudi hingga lebih setahun.

“Kita telah menamatkan kontrak pihak kontraktor terlibat dan memilih kontraktor penyelamat.

“Kita telah membuat keputusan bahawa kontraktor penyelamat ini akan menyiapkan projek, tetapi terdapat prosedur yang harus dipatuhi namun menghalang pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengambil tindakan pembetulan dengan segera.

“Saya tidak mencadangkan agar prosedur ini dilupakan kerana amalan integriti sentiasa diutamakan, tetapi saya percaya terdapat prosedur yang kita boleh ubah supaya pembangunan dapat dipercepatkan,” katanya. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan