Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Balik raya
BERA, 23 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Bera, DSP Mansor Samsudin (kanan) pada Majlis Penghargaan Sekalung Budi Kepada Petugas-Petugas Banjir Parlimen Bera hari ini. 
Turut kelihatan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman (kiri) dan Pegawai Daerah Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif @ Ahmat (dua,kanan).
 Kesemua petugas dari 20 Agensi Kerajaan termasuk Ketua-ketua kampung diberi sijil penghargaan oleh Perdana Menteri selepas bertungkus lumus berkhidmat untuk memberi bantuan kepada semua mangsa banjir baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tiada lagi PKP, boleh balik raya – Perdana Menteri

BERA, 23 Jan:  Perdana Menteri hari ini memberi jaminan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sektor ekonomi dan sosial serta pergerakan merentas negeri telah dibenarkan kembali seperti biasa dan jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.

“Sudah ada orang yang buat spekulasi macam-macam, termasuk kononnya tak boleh balik raya kerana kes meningkat semula sejak beberapa hari lepas, namun jangan bimbang, kita tidak akan tutup lagi seluruh negara, atau negeri atau daerah kerana jaminan sudah diberikan. 

“Pergerakan rakyat juga seperti biasa, tetapi kita akan memfokus kepada kawasan sasaran yang banyak berlaku penularan kerana kita ada PKPD. Jika kampung itu yang dikenakan PKPD, maka mereka dari kampung itu sahaja yang tidak boleh pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bera di Pejabat Kemas Bera di sini. 

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata cadangan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dibentang dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan turut dihadiri wakil parti-parti pembangkang.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan cadangan SOP itu secara terperinci, kerana keutamaan adalah untuk mengelakkan berlaku peningkatan kes positif COVID-19 akibat PRN itu, selain turut mengambil kira jumlah kes baharu yang kembali mencecah 4,000 kes sejak beberapa hari lepas.

“Kita tidak boleh selesa dan perlu terus membendung (penularan COVID-19) walaupun kita mengatakan perlu hidup dengan COVID-19 pada masa depan. Kita mengharapkan supaya kes terus menurun sehingga bawah 1,000 supaya kita boleh mengumumkan Malaysia sebagai endemik, bukan lagi pandemik. 

“Kita serahkan kepada KKM untuk menentukan SOP secara terperinci dan saya boleh memanggil mesyuarat sidang khas MKN untuk membincangkannya,” kata Ismail Sabri.

PRN Johor perlu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa semalam selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran selepas menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan