BRUNEI, 23 Jan: Duli Yang Teramat Mulia , Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, yang merupakan puteri kedua bongsu Sultan Brunei , Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah selamat diijabkabulkan dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi, kelmarin.
Majlis yang berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien , Bandar Seri Begawan turut menyaksikan keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah diiringi paduka-paduka anakanda dan adinda.
Majlis penuh tradisi itu selama 10 hari itu bermula pada 16 Januari lalu dengan acara Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang berlangsung di Istana Nurul Iman, dan disusuli Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga.
Majlis diteruskan dengan Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-Jaga bagi Perkahwinan Diraja.
Sehari selepas itu, berlangsung pula Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja dihiasi dengan alat-alat kebesaran, yang mencerminkan keunikan juga kekayaan tatasusila adat istiadat diraja Brunei.
Turut berlangsung ialah Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Perempuan pada 19 Januari lalu yang turut diadakan Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Lelaki pada hari sama.
Majlis Akad Nikah Diraja pula berlangsung pada Khamis yang diiringi bunyi tujuh belas tembakan meriam bergema di ibu kota negara itu.
Melalui akaun Instagram Bruneiroyals , Majlis Istiadat Persandingan Pengantin Diraja akan berlangsung hari ini yang merupakan acara kemuncak utama perkahwinan berkenaan. -TVS