SIBU, 23 Jan : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM1 juta untuk diagihkan kepada semua sekolah di kawasan berkenaan.
Tiong Sii berkata, peruntukan yang diberikan itu selaras dengan matlamat beliau yang mahu melihat rakyat di kawasan berkenaan mendapat pendidikan terbaik.
” Ini kerana pendidikan sangat penting untuk masa depan anak – anak kita di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lambaian Kasih, Sesaat Bersama, Seabad Terasa anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony Sarikei, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, sejak dipilih sebagai wakil rakyat Repok pada 2016, matlamat politiknya ialah untuk membangunkan pendidikan dan menaik taraf jalan raya luar bandar.
“Saya amat gembira kerana titik peluh, sumbangan dan khidmat bakti selama ini diiktiraf oleh penduduk di kawasan Repok dan diterjemah melalui kemenangan besar saya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih,” katanya.
Beliau turut berharap sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk melonjakkan prestasi pelajar.
Pada majlis berkenaan, Tiong Sii turut mengucapkan tahniah kepada Pengetua SMK St Anthony , Liong Shou Chuan dan seluruh warga sekolah kerana sikap dedikasi dan kepimpinan cemerlang sehingga berjaya menjadikan SMK St Anthony sebagai salah sebuah sekolah terbaik di Sarawak. – TVS