KUCHING, 21 Jan : Aktiviti kesenian membabitkan lukisan mural gergasi bertemakan Sarawak bakal dimasukkan dalam Malaysia Book of Records.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, struktur bersaiz 181 meter itu akan dilukiskan oleh artis pelajar berbakat di negeri ini.
Katanya, seramai 250 peserta dari beberapa universiti tempatan dan pelukis akan bekerjasama dalam cubaan mencipta rekod Malaysia itu.
“Lukisan ini mempunyai lima elemen utama Sarawak melibatkan kebudayaan, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Lukisan Mural Bertema Sarawak Terbesar di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Lukisan terbabit dijangka akan disiapkan pada Mei ini dan ditayangkan di BCCK bermula 21 Mei hingga 4 Jun.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, aktiviti seni kreatif berkenaan dijangka akan menghidupkan semula industri pelancongan di negeri ini.
” Saya berharap lukisan mural gergasi ini akan menjadi antara elemen yang akan menarik kehadiran pelancong ke Sarawak serta merancakkan semula sektor ini yang lama terjejas akibat COVID-19,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi penganjur, Michael Yii berkata, program berkenaan turut disertai oleh Persatuan Orang Pekak Sarawak (S-S-D) yang berbakat dalam seni mural.
“Lukisan mural ini akan bermula pada Februari ini di universiti masing-masing , sebagai langkah untuk mengekang penularan COVID-19 di kalangan peserta,” katanya. -TVS