SIBU , 21 Jan : Bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina di bandar ini, lebih 2,000 tanglung dipasang di Pintu Gerbang Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Micheal Tiang Ming Tee berkata, pemasangan berkenaan dilakukan sebagai simbolik perasmian bazar Tahun Baharu Cina 2022 Sibu.
Ujar beliau, bazar berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan belia Dewan Perniagaan dan Perindustran Cina Sibu (SCCCI).
” Kita dapat saksikan suasana meriah di sini pada malam ini. Sebenarnya saya agak terkejut kerana menjangkakan sambutan orang awam mungkin kurang meriah berdasarkan situasi semasa terutamanya risiko penularan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian bazar berkenaan di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Micheal Tiang yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau berharap pada masa akan datang lebih banyak program dapat dianjurkan di kawasan berkenaan.
” Saya harap tahun ini kita juga dapat menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan perayaan utama lain selepas dua tahun sunyi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pengunaan pelitup muka dan penjarakan fizikal ketika mengunjungi bazar bagi mengelakkan berlakunya penularan COVID-19.
Bazar Tahun Baru Cina 2022 Sibu terbuka kepada orang ramai setiap hari bermula pukul 5 petang sehingga 9.30 malam. -TVS