KOTA KINABALU, 20 Jan : Seorang guru madrasah disahkan oleh Kerajaan Sabah sebagai ‘pencetus’ satu kluster baharu COVID-19 di Putatan.
Jurucakap COVID-19 negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pesakit indeks pertama yang dikenal pasti berusia 53 tahun itu mengalami gejala batuk, demam dan selsema.
Katanya, keputusan ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang dilakukan pada 17 Januari lepas mendapati keputusan guru berkenaan positif.
“Saringan kontak rapat sedang giat dijalankan bagi membendung penularan ini, keluarga kes indeks, kakitangan dan kesemua pelajar madrasah seramai 16 telah disahkan positif COVID-19,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Menurut Masidi, pihaknya juga mendapati kluster institusi pendidikan semakin meningkat sekaligus memberi petanda berlaku penularan semula virus berkenaan di sekolah.
“Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuk melakukan saringan ujian kendiri sekiranya anak – anak mereka mempunyai simptom,” katanya. -TVS