Tambahan laporan oleh Nur Suhaida Muliyono
KUCHING, 20 Jan : Daging mentah dan anak pokok kopi merupakan antara barangan yang cuba diseludup masuk ke Sarawak dan berjaya dirampas oleh pasukan keselamatan negara dalam operasi pada tahun lepas.
Komander Nasional Task Force (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, selain itu, Op Benteng yang mula dilaksanakan pada Mei 2020 dan berlarutan hingga Disember 2021 turut merampas barangan lain termasuk arak, dadah, rokok kretek, kayu cengal, ikan arowana dan barangan lain.
Ujar Aris Adi Tan, operasi yang dilaksanakan di sempadan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia juga menunjukkan sebanyak 1,585 kes pelaporan yang melebihi nilai RM130 juta.
” Pada masa sama, seramai 1,169 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan termasuk mengusir seramai 1,654 PATI,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas melakukan kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Keselamatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak, Sophian Isswandy Ismail; Ketua Staf Operasi NTF , Dato Mohd. Yusoff Mamat dan Asisten Ketua Staf Bahagian J2 NTF , Brigedier Jeneral Dzeidee Schaff Jamaluddin.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, NTF telah menggariskan enam kawasan tumpuan dalam Op Benteng di mana aktiviti pencerobohan berlaku meliputi empat di Semenanjung dan serta masing – masing satu di Sabah dan Sarawak.
” Di Sarawak, operasi-operasi yang digabungkan dalam Op Benten termasuk Op Awas, Op Jaga Kawan dan Op Kerangka manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) melaksanakan Op Awas dan Op Batas,” katanya.
Katanya, keseluruhan operasi melibatkan 59 pegawai, 886 anggota dan dilakukan di 61 lokasi yang berlainan – TVS