KUCHING, 18 Jan : Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Inovasi Antarabangsa (IIA) Enterprise Asia.
RECODA yang merupakan badan berkanun di Sarawak terpilih menerima anugerah berkenaan bagi kategori perkhidmatan dan penyelesaian 2021 menerusi projek inovasi Sistem Pengurusan Projek RECODA (RPMS) yang dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni hari ini hadir pada majlis simbolik penyerahan anugerah berkenaan kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi RECODA.
Sebelum ini, RECODA diumumkan pemenang pada 9 Disember lalu menerusi majlis yang berlangsung secara maya di Singapura.
“Anugerah itu meletakkan RECODA bersaing dengan lebih 160 calon dari 30 negara yang merangkumi 24 industri,” kata RECODA dalam kenyataan hari ini.
Inovasi tersebut turut disertakan dengan InnoMark iaitu pensijilan antarabangsa yang mengiktiraf inovasi cemerlang menerusi kriteria lebih ketat.
Berhubung projek RPMS yang menjulang RECODA, perlaksanaannya membabitkan sistem papan pemuka pemantauan dan maklumat digital berasaskan teknologi awan, bersepadu, inovatif dan interaktif.
Ia berfungsi untuk mengurus, menyelia serta memantau kemajuan semasa projek dilaksanakan.
Menerusi kenyataan media, RECODA memaklumkan, RPMS berupaya menjejak dan memantau status kemajuan semasa projek di tapak dengan serta merta melalui peranti mudah alih tanpa perlu hadir secara fizikal.
RPMS menyebarkan maklumat seperti perbandingan apa yang sudah dijadualkan dengan kemajuan sebenar projek, peratusan, bilangan sumber di tapak, sasaran tarikh projek siap, prestasi kontraktor, status kewangan projek, kepelbagaian projek dan banyak lagi maklumat penting untuk pelaporan kemajuan dan progres projek, yang membolehkan pihak berkepentingan membuat keputusan.
Konsep RPMS bermula pada 2019 sebelum pembangunan sebenar dimulakan pada Julai tahun lepas.
RECODA merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 2006 bagi memantau dan menguruskan Koridor Tenaga Diperbaharui Saawak (SCORE).-TVS