KUCHING, 17 Jan : Menyedari potensi besar ekonomi digital yang boleh dimanfaatkan oleh bakat-bakat tempatan, tiga organisasi iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), TVS dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama untuk mencungkil bakat muda bidang penyiaran.
Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, bakat tempatan di Sarawak kini berpeluang untuk dilatih secara profesional dalam bidang penulisan skrip, pekerjaan produksi, jurugambar dan sebagainya.
Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi berkata, MoU berkenaan juga selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk memajukan ekonomi digital negeri ini menerusi penyediaan bakat – bakat yang terlatih dan seterusnya mampu bersaing.
” Berdasarkan peluang yang wujud dalam ekonomi digital serta cabaran yang dihadapi, kita (SDEC) dengan rakan strategik iaitu TVS dan CENTEXS mengambil pendekatan untuk mencari penyelesaian (cabaran) yang wujud dengan menawarkan peluang kepada bakat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangi MoU berkenaan di TVS di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif, Sarawak Media Group (SMG), Sarbini Hamdan; Ketua Pegawai Eksekutif TVS , Suhaimi Sulaiman; Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Sudarnoto Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman.
Sementara itu, Suhaimi berkata, TVS berbesar hati kerana dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam menyediakan bakat – bakat penyiaran masa hadapan di negeri ini.
“ Kami berasa teruja untuk bekerjasama dengan SDEC dan CENTEXS.
“ Di TVS, pembangunan bakat sentiasa menjadi keutamaan kami dan kini, selepas menyambut ulang tahun pertama, TVS membuka lembaran baharu apabila menjadi sebahagian daripada organisasi yang terlibat dalam memacu ekonomi digital Sarawak,” katanya. -TVS