BELURAN, 16 Jan : Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak – kanak lelaki berusia empat tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di Ladang Man Coon petang semalam masih belum membuahkan hasil.
Setakat ini hanya selipar milik mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Ridwan Suprianto ditemui selepas mangsa disedari hilang kira – kira pukul 2.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, pasukannya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.15 petang semalam.
“Operasi SAR diaktifkan petang semalam dan ditangguhkan pada pukul 6.48 petang.
“Hari ini operasi bersambung semula di sekitar kawasan kejadian,” katanya.
Menurutnya, pihak bomba turut menggunakan khidmat anjing pengesan dari unit K9 dalam misi pencarian berkenaan. -TVS