Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kepimpinan lima tahun Abang Johari cemerlang – Fadillah Yusof

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 13 Jan : Pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi tempoh lima tahun pertama memperlihatkan prestasi cemerlang di sebalik pelbagai cabaran yang ditempuhi.

Naib Yang Dipertua Kanan , Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fadillah Yusof berkata, rekod cemerlang berkenaan meliputi aspek politik, ekonomi dan kesihatan.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, dalam konteks Sarawak, pimpinan Abang Johari telah memberi kesan positif kepada kualiti hidup rakyat malah turut memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negara.

“Ketua Menteri telah berjaya melepasi pelbagai cabaran, termasuk memastikan rakyat Sarawak tidak terlalu terkesan akibat pandemik apabila menyalurkan bantuan keseluruhan berjumlah RM5.3 bilion menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga BKKS 7.0 sepanjang dua tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di laman Facebooknya hari ini.

Di bawah pentadbiran Abang Johari, Sarawak muncul antara negeri terawal yang mana rakyatnya mendapat suntikan vaksinasi tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan kerajaan.

Berhubung usaha memacu pertumbuhan ekonomi pula, Sarawak muncul negeri kedua yang menerima pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi berjumlah RM23.9 bilion bagi sembilan bulan pertama lepas berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pimpinan Abang Johari dalam aspek politik turut terserlah apabila beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memimpin empat parti politik tempatan termasuk PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) meraih kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak tahun lepas dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, Abang Johari juga telah melaksanakan lebih 100 inisiatif demi kesejahteraan rakyat dan Sarawak dengan tumpuan pembangunan mampan secara holistik baik di bandar mahupun di luar bandar.

Jelasnya, mandat padu rakyat yang diterjemahkan menerusi kemenangan besar GPS pada PRN Ke-12 Sarawak adalah manifestasi keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri itu.

Justeru beliau mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri yang telah menerajuI kepimpinan negeri dengan amat baik.

“Moga Allah SWT kurniakan kesihatan yang baik dan berpanjangan untuk terus memimpin Sarawak dengan cemerlang dan jayanya,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan