ABUJA, 13 Jan : Nigeria mengumumkan lewat Rabu bahawa ia telah menarik balik larangan ke atas rangkaian media sosial Twitter di negara itu yang telah dilaksanakan sejak 4 Jun lalu.
Ketua Pengarah Agensi Pembangunan Teknologi Maklumat Kebangsaan, Kashifu Inuwa Abdullahi berkata, kerajaan Nigeria telah menarik balik penggantungan operasi Twitter mulai tengah malam 13 Jan, Agensi Anadolu melaporkan.
Abdullahi berkata kerajaan Nigeria telah mencapai keputusan positif dalam rundingannya dengan Twitter.
Menurut kenyataan beliau, Twitter telah bersetuju untuk mengiktiraf dan menghormati budaya, sejarah dan undang-undang Nigeria.
Terdahulu, kerajaan Nigeria telah menyekat Twitter selepas platform media sosial itu memadamkan tweet daripada Presiden Muhammadu Buhari setelah beliau mengeluarkan kenyataan mengenai kumpulan pemisah dalam bentuk yang dianggap mengancam. – TVS