Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polis tahan dua beradik, rampas dadah bernilai RM138,607 di Tangkak

TANGKAK, 11 Jan : Polis menahan dua beradik yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak November lalu, di sebuah rumah di Sungai Mati di sini, Sabtu lepas. 

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata pada serbuan antara 2.30 petang hingga 3.25 petang itu, dua lelaki berkenaan yang berusia 40 dan 42 tahun, ditahan bersama dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 4.73 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM138,607.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki tempatan itu, berstatus duda serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Hasil saringan ujian air kencing turut mendapati si abang positif dadah jenis methamphetamine. 

“Mereka menjadikan rumah yang didiami sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah. Kesemua dadah yang dirampas dipercayai diedar untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak, di sini hari ini. 

Beliau berkata dadah tersebut iaitu heroin seberat kira-kira 3.8 kg bernilai RM45,493 dan syabu anggaran berat 0.93 kg bernilai RM93,114 boleh menampung atau digunakan oleh seramai 8,543 orang penagih. 

Katanya selain dadah, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda Accord dengan anggaran nilai RM45,000 selain menyita sebuah lagi kenderaan jenis Honda City bernilai kira-kira RM26,000 dan wang tunai RM2,000.

Mohd Fadhil berkata dua beradik itu direman tujuh hari bermula Ahad (9 Jan) sehingga Sabtu (15 Jan) ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika ditanya mengenai kes Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 33, yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, tanpa mengulas lanjut beliau berkata lelaki berkenaan masih berada di Penjara Sungai Udang, Melaka. 

Pada 15 Dis lepas, Abdul Hamim dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan kesnya bermula yang didakwa mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan. – TVS

Tags: #bm, dadah, polis

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan