Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dari kaca TV dan pentas teater, Tony Eusoff kini terbitkan program masakan

ByNurul Amarlina

Setelah berdekad berlakon dalam filem dan drama, pelakon serba boleh, Tony Eusoff berkongsi pengalamannya sebagai hos program masakan terbarunya, Tony Lapar.

Kelibat anak jati Sarawak ini sering dilihat dalam drama, filem mahupun pentas teater muzikal. Kini, Anthony Joseph anak Hermas Rajiman atau lebih dikenali sebagai Tony Eusoff muncul sebagai hos program masakan Tony Lapar terbitan syarikat kongsinya iaitu Richants Media Sarawak.

Apakah cerita di sebalik Richants Media?
Saya mengenali rakan kongsi saya, Adli Maaris kerana dia pernah bekerja bersama adik ipar saya. Apabila TVS membuat pelancaran awal , dua tahun lepas, kami bersetuju untuk membuka sebuah syarikat produksi. Pasukan kami terdiri daripada, Adli Maaris, isterinya, adik saya, isteri adik saya dan saya sendiri.

Soalan penting, dapur cantik itu milik siapa?
Oh! Pada mulanya kami berbincang untuk mencari tempat yang sesuai bagi melakukan rakaman. Kebetulan Adli hendak ubah suai rumahnya. Jadi dia pun awalkan jadual pengubah suaian dapurnya untuk dijadikan sebagai ‘studio’ rakaman Tony Lapar.

Dapur yang menjadi studio Tony Lapar adalah kepunyaan rakan kongsi Tony

Dalam episod pertama, Tony memberitahu tetamu jemputan, Bob Yusof bahawa Tony tak pandai masak. Tapi kenapa Tony pilih untuk menerbit program masakan?
(Ketawa) Pasukan kami mencari idea pada malam sebelum sesi pitching. Tiba-tiba idea mencurah dan saya beritahu mereka, “Saya tidak pandai masak. Apa kata kita cuba buat program masakan.”

Dalam Tony Lapar Episod 1 bersama Bob Yusof, Tony dan Bob memasak kari ayam dengan sos tiram, iaitu kari versi kurang pedas yang diajar oleh adik Tony, Andrew.

Apakah respon tetamu jemputan apabila Tony ajak mereka masuk program masakan Tony?Mereka tahu Tony tak pandai masak?
(Ketawa) Mereka semua tahu saya tidak pandai masak. Tapi mudah saja hendak ajak mereka sertai program ini sebab kami semua kawan.

Salah satu episod kami menjemput Alex Yoong dan dia pun tidak tahu masak! (ketawa) Jadi tengoklah episod itu nanti, kami berdua tak pandai masak. Syanie pula, keluarganya seperti keluarga saya sendiri. Ibunya (penerbit terkenal, Ruhanie Abd Rahman) yang memberi idea kepada nama samaran saya, Tony Eusoff.

Jadi walaupun ia satu program memasak, namun kandungan program Tony Lapar ini lebih menjurus kepada bertemu kembali kawan-kawan rapat.

Syanie dan keluarganya adalah seperti keluarga Tony sendiri. Ibu Syanie, penerbit terkenal Ruhanie Abd Rahman merupakan orang yang mencadangkan nama samarannya, Tony Eusoff.

Dalam episod pertama, Tony berbual dengan adik Tony dan meminta idea memasak daripadanya. Dalam keluarga Tony, adakah adik seorang yang mahir memasak?
Ya, dia memang pandai masak. Sebab saya tidak pandai masak ialah ketika saya membesar dengan ibu saya dan adik saya, saya akan menguruskan kerja rumah lain kecuali memasak ketika ibu keluar bekerja.

Kenapa tidak belajar memasak waktu itu?
Entahlah, masa itu mungkin tidak berpandangan jauh (ketawa) , jadi saya lepaskan tanggungjawab memasak kepada ibu dan adik saya. Adik saya mahir memasak kerana dia belajar daripada ibu saya. Disebabkan adik saya tidak tahan pedas, versi kari dalam keluarga kami menggunakan sos tiram.

Dalam episod pertama, adik Tony, Andrew mengajar Tony cara memasak kari ayam dengan menggunakan sos tiram.

Sinopsis program Tony Lapar ialah “mengisahkan seorang anak Sarawak, Tony Eusoff yang berada jauh dari kampung ingin mempelajari masakan Sarawak”, tetapi ada pasta pula dalam Episod 2. Macam mana pasukan Tony memilih apa yang nak dimasak?
(Ketawa) Memang kami ada masukkan hidangan Sarawak. Ada sesetengah hidangan kami hendak cuba, contohnya umai, tetapi kerana proses membuatnya terlalu lama dan tiada orang yang boleh membuatnya, kami tidak jadi memilih (umai).Selain itu, kami juga menerima beberapa cadangan masakan dari para tetamu untuk dimasukkan ke program ini.

Apakah menu kegemaran Tony dalam program tersebut?
Banyak! Pasta dan juga ayam pongteh dalam episod bersama Joanne Kam.

Pelakon Syanie mengajar cara membuat pasta, antara menu kegemaran Tony dalam Tony Lapar

Apakah perkara yang berlaku di sebalik tabir yang tidak diketahui oleh penonton?
Kerja yang paling sukar adalah mengatur jadual semua tetamu. Kami memulakan rakaman sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun tahun lepas. Oleh kerana kami mengejar masa untuk menyiapkan episod-episod tersebut, muncul pelbagai masalah teknikal seperti audio dan sebagainya.

Selain itu, memang banyak rakaman yang tidak boleh disiarkan di TV, contohnya kadang-kadang terlepas cakap, minyak terpercik, masalah bunyi dan kadang-kadang terakam bunyi pembinaan oleh kontraktor yang sedang membuat kerja ubai suai di luar dapur, tapi saya boleh katakan semua detik terbaik disiarkan dalam program tersebut.

Kalau hendak tahu, promo yang saya buat itu bukan lakonan. Sebab saya tidak reti masak, saya cuci kuali dan saya tidak lap air di kuali sehingga kering dan terus letak kuali atas api dan tambahkan minyak, lalu terperciklah minyak (Ketawa)

Memandangkan Tony sudah berjaya menghasilkan program memasak, berapa markah Tony menilai kemahiran memasak sendiri dari skala 1 hingga 10?
Saya seorang tukang masak yang teruk, saya tak ingat semua hidangan yang saya buat (Ketawa) Tapi setakat goreng telur bolehlah.

Di sebalik tabir Tony Lapar sewaktu sesi rakaman bersama Bob Yusof

Jom kita sentuh tentang industri hiburan Sarawak pada masa ini. Pada pendapat Tony, di manakah kekurangan industri tempatan terutamanya aspek kepelbagaian kandungan?
Saya ingin melihat lebih banyak format drama dan penceritaan dari seluruh Sarawak kerana banyak cerita tempatan yang masih belum diterokai. Bagaimanapun saya sedar ini satu perkara yang rumit kerana melancong di Sarawak adalah sangat sukar terutamanya aspek logistik.

Kawan-kawan saya di Semenanjung memberitahu saya bahawa mereka menonton TVS, hanya kerana ia berbeza. Ini bererti TVS mengisi kekosongan yang tidak dapat dikenal pasti di stesen TV lain.

Tony Lapar bersiaran setiap Ahad jam 5.30 petang hanya di TVS saluran 122 Astro dan MYTV.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan