Oleh : Mike
SIBU, 10 Jan : Tujuh penghuni bilik sewa tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan harta benda mereka yang musnah dijilat api dalam satu kebakaran di tingkat tiga bangunan kedai di jalan Salim di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam sekitar jam 9.20 pagi itu, hanya seorang penghuni wanita berada di bilik sewa tersebut ketika kebakaran bermula sekitar jam 9.15 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, Suna Kahar berkata, pihaknya telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 9.21 pagi.
“Pihak kami telah menerima panggilan pada jam.9.21 pagi mengenai kebakaran yang berlaku di alamat Sublot 32 Lorong 17, Salim.
“Kami terus bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 13 orang anggota menggunakan satu jentera bomba satu jentera EMRS sebuah pacuan empat roda,” katanya dalam satu kenyataan.
Setiba di lokasi kejadian, mereka mendapati kebakaran di tingkat 3 bangunan jenis kekal yang merupakan rumah kediaman pekerja pasaraya berhampiran.
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos 200 kaki.
Api dapat dikawal pada jam 9. 44 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.10 pagi.
Semua penghuni bilik sewa berkenaan selamat dan tiada sebarang kecederaan mahupun kehilangan jiwa dilaporkan.
“Kebanyakan penghuni telah keluar bekerja dan hanya seorang wanita berada di bilik ketika kebakaran bermula namun dia sempat keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Menurutnya, kebakaran tersebut telah menyebabkan sebuah bangunan kedai di tingkat tiga yang berstruktur kekal dengan anggaran keluasan 40 x 60 kaki persegi 100 peratus terbakar.
Sebuah lori kren milik kontraktor swasta yang kebetulan berada di tempat kejadian turut menghulurkan bantuan membenarkan pihak bomba menggunakan peralatan ‘skylift’ untuk melancarkan operasi pemadaman.
Seramai 10 anggota bomba dari BBP Sibu Sentral yang diketuai PBK II Norman Matu, dibantu oleh pasukan dari BBP Sungai Merah dan di sertai agensi lain termasuk enam anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu.
Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 10.53 pagi.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. -TVS