Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Suami isteri rentung, tujuh melecur dalam kebakaran 40 rumah di Tawau

ByBernama

TAWAU, 9 Jan : Sepasang suami isteri rentung manakala tujuh mangsa lain melecur dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama, di sini pada awal pagi Ahad.

Mayat Saiful Rosli, 32, dan isterinya, Jumaidah M. Jida, 36, ditemukan oleh anggota bomba selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada jam 6.20 pagi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.25 pagi Ahad, dan 25 anggota serta dua jentera diaturgerak ke lokasi.

“Mangsa yang melecur 86 peratus ialah Abdul Mutalib Suma, 45, manakala seorang lelaki, 26 tahun, dan seorang remaja, 18 tahun, melecur 17 peratus.

“Selain itu, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun melecur antara 1 hingga 6 peratus, dan semua mangsa yang melecur telah dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, mangsa kebakaran, Mala Tipung, 46, ketika ditemui Bernama, menangis teresak-esak apabila mendapati rumahnya, yang ditinggalkan kosong selama seminggu, musnah dalam kebakaran itu.

“Saya pergi ke tempat kerja suami seminggu lalu di Sungai Burong Teck Guan. Pagi ini saya balik, baru saya tahu rumah kami terbakar. Semua tinggal jadi debu, satu barang pun tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hasoni Basiah, 34, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan dikejutkan oleh bunyi ketukan kuat pada pintu rumah oleh sahabatnya, bernama Awil.

“Saya buka pintu, kawan saya Awil sudah berteriak ‘api’ dan saya tengok api besar sudah di belakang rumah saya. Melihat api marak, saya kejutkan isteri dan adik ipar, untuk menyelamatkan diri, ” katanya, yang menambah beliau hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum lari keluar dari rumah.

Nur Anita Saddu, 30, pula berkata beliau, suami serta dua anak mereka sempat menyelamatkan diri selepas mendengar salakan kuat anjing seperti memberi amaran sesuatu sedang berlaku sebelum kedengaran suara jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

“Ketika kami keluar rumah, api sudah merebak ke rumah jiran. Saya cuma sempat bawa keluar baju anak manakala suami sempat pindahkan kereta ke tempat selamat,” katanya.

Selain itu Abbas Tenri, 49, berkata dua surat lahir anaknya tidak sempat diambil dan musnah bersama barangan lain dalam kebakaran itu. 

“Saya dan tujuh anak selamat, cuma ada dua surat lahir anak saya tidak sempat diambil. Saya juga bingung esok anak-anak akan mula sekolah tetapi barang-barang sekolah mereka semua musnah,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa kebakaran.

Beliau berkata segala keperluan mangsa sedang diusahakan pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Bencana Daerah Tawau dan Jabatan Kebajikan, selain berharap mangsa dapat bersabar ketika ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan