KUCHING, 8 Jan : Lembaga Air Kuching (LAK) mempunyai perancangan teliti bagi memastikan bekalan air tidak terputus sekiranya kawasan bandar raya ini dilanda banjir dalam masa terdekat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, satu taklimat khas akan turut diadakan bagi memastikan sistem bekalan air kepada penduduk tidak terjejas.
“Sehubungan itu saya yakin LAK mampu untuk memenuhi keperluan air bersih kepada seluruh penduduk Bandaraya Kuching dan kawasan sekitar,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Pesara Lembaga Air Kuching di Pusat Konvensyen Borneo di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi I, Datuk Liwan Lagang dan Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi II, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Sementara itu mengulas berkenaan pembinaan sebuah loji rawatan air baharu di Landeh, Julaihi berkata, beliau memerlukan butiran lebih terperinci daripada LAK berhubung perkara itu.
Kerajaan Sarawak sebelum ini merancang untuk membina Projek Rawatan Loji Air Landeh di Padawan dengan kos dianggarkan mencecah RM990 juta.
Projek berkenaan dijangka mampu mencapai pengeluaran air mencecah 2,047 juta liter sehari untuk menampung permintaan air bersih yang semakin meningkat.
Pada majlis sama, Julaihi turut menzahirkan pujian terhadap warga LAK kerana berjaya menunaikan tanggungjawab dengan baik sepanjang lebih dua tahun menghadapi pandemik COVID-19.
” Walaupun dalam suasana norma baharu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada warga LAK kerana dapat berkhidmat kepada rakyat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang begitu ketat,” katanya. -TVS