MIRI 7 Jan 2021: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengisytiharkan perayaan Hari Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai Dayak di Sarawak, sebagai cuti umum di seluruh negara.
Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) dalam kenyataan bersama berkata, seiring dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melancarkan konsep Keluarga Malaysia, maka sudah tiba masanya bagi Kerajaan Persekutuan mengiktiraf cuti perayaan Hari Gawai Dayak yang disambut pada 1 Jun di Sarawak dan Pesta Kaamatan pada 31 Mei di Sabah, sebagai cuti umum.
“Oleh kerana Hari Kaamatan di Sabah diraikan pada 30 and 31 Mei dan Gawai Dayak di Sarawak diraikan pada 1 dan 2 Jun, kita cadangkan cuti umum di seluruh negara bagi Hari Kaamatan dan Gawai Dayak ialah pada 31 Mei dan 1 Jun.
“Manakala hari cuti tambahan, iaitu 30 Mei bagi Pesta Kaamatan dan 2 Jun bagi Hari Gawai Dayak tetap digunapakai oleh Sabah dan Sarawak masing-masing. Jika dipersetujui, ia harus digazetkan untuk cuti umum bagi seluruh negara mulai tahun ini,” demikian menurut kenyataan bersama itu, hari ini.
Kenyataan yang dikeluarkan bersama penasihat DTTAS, Wellie Henry Majang dan presiden DNC Paul Raja, itu juga berkata bahawa cuti umum pada tarikh-tarikh tersebut akan memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk merayakan Hari Kaamatan dan Gawai Dayak ini di kediaman masing-masing di seluruh negara.
Sambutan di tempat kerja dan kediaman mereka ini juga akan memberi pengetahuan, pemahaman budaya dan tradisi kepada rakan dan taulan mereka keunikan masyarakat majmuk di Malaysia, jelas Wellie.
Pemimpin terdahulu yang menandatangani Perjanjian Malaysia (MA63), adalah dengan niat yang baik dan percaya bahawa mereka menyumbang kepada pembangunan negara dengan melakukan persetujuan dalam semangat perkongsian dan kemakmuran bersama.
“Prinsip dan Fundamental Persekutuan telah dimeterai untuk menyatukan kepelbagaian dalam kalangan ketiga-tiga entiti ini menggabungkan Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur,” demikian menurut Paul.
“Amalan hormat-menghormat antara pelbagai agama dan kaum adalah kekuatan kestabilan politik, keamanan dan keharmonian dalam kepelbagaian masyarakat di Sarawak dan Sabah selama ini. Oleh itu kita harap ianya dapat dipupuk di seluruh Malaysia dengan adanya Perayaan Kaamatan dan Gawai Dayak di seluruh negara dan Kita semua harus mengambil sikap bertanggungjawab dalam mengukuhkan perpaduan dan semangat hormat menghormati antara kaum” menurut kenyataan itu lagi.
Kedua-dua NGO terbabit dalam kenyataan mereka juga mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai perayaan suku kaum di Sarawak dengan mengisytiharkan Hari Kaamatan dan Gawai Dayak sebagai Cuti Umum bagi seluruh Malaysia. – TVS