Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Thailand nilai situasi COVID-19 selepas cuti tahun baharu

BANGKOK, 6 Jan: Thailand akan menilai situasi COVID-19 selepas cuti Tahun Baharu sebelum membuat keputusan mengenai langkah-langkah yang perlu dilaksanakan untuk membendung gelombang baharu jangkitan.

Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayut Chan o-cha sedang meneliti situasi COVID-19 selepas cuti Tahun Baharu berikutan sektor swasta dan awam menyambung semula operasinya.

“Kerajaan akan menilai keadaan termasuk jumlah kes dan kematian baharu dan jumlah pesakit yang mengalami gejala teruk sebelum membuat pelarasan terhadap langkah sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Prayuth dijangka mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) pada  Jumaat untuk membincangkan isu penting termasuk penggantungan program bebas kuarantin “Test & Go”, tempoh kuarantin untuk pelancong yang memasuki Thailand, dan pembukaan semula pub dan bar untuk membendung penularan COVID-19 di negara itu.

Sementara itu, Gabenor Bangkok Asawin Kwanmuang berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) telah bersedia dengan petugas perubatan, peralatan, ubat-ubatan dan katil pesakit sekiranya terdapat lonjakan baharu kes Omicron.

Beliau berkata BMA menyediakan 40 tapak kuarantin komuniti dengan kira-kira 5,000 katil untuk merawat pesakit COVID-19. Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Perubatan turut menyediakan kira-kira 25,000 katil untuk pesakit di hospital dan hospital lapangan.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, Thailand merekodkan 3,899 kes baharu COVID-19 dan 19 kematian, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara kepada 2,239, 475 kes  dan 21,769 kematian.

Setakat ini, Thailand merekodkan 2,338 kes Omicron di 55 wilayah.

Sementara itu, Timbalan Jurucakap CCSA Dr Sumanee Wacharasin memberi amaran kes COVID-19 boleh mencecah ‘berpuluh-puluh ribu’ setiap hari jika orang ramai mengabaikan langkah-langkah pencegahannya.

“Penularannya akan dapat dilihat dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan