KUCHING, 5 Jan : Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat , Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diberikan menyebabkan para pengusaha restoran dan kedai makan di sekitar negeri ini menarik nafas lega.
Rata-rata para peniaga yang ditemui gembira dengan pengumuman berkenaan kerana mereka kini boleh beroperasi lebih masa selepas Sarawak beralih ke Fasa Empat, PPN.
Pemilik Warong Zafron, Nurfadiellah Daud berkata, dia berharap agar peraturan di bawah PPN tidak seketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.
” Ketika itu (PKP) sangat ketat dan menjejaskan operasi perniagaan dan pendapatan.
” Oleh itu, pada tahun ini, saya berharap supaya waktu perniagaan tidak lagi dihadkan,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Nurfadiellah berkata, lanjutan operasi kedai sehingga lewat malam dapat membantu peniaga kecil seperti dia untuk mencatatkan jualan yang lebih tinggi.
Sementara itu, pemilik Fauziah Family Cafe, Abang Azrael berkata, sebelum ini dia akur apabila mematuhi peraturan di bawah Fasa Tiga PPN iaitu kedai hanya dibenarkan beroperasi hingga pukul 12 tengah malam sahaja.
” Sekarang (Fasa Empat), kedai boleh beroperasi lebih lama dan saya bersyukur kerana banyak kelonggaran diberikan,” katanya. – TVS