Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bekas penjaga gol kebangsaan era 70-an Abdul Hamid meninggal dunia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 5 Jan : Bekas penjaga gol skuad kebangsaan pada Piala Asia 1976 dan 1980, Abdul Hamid Ramli meninggal dunia akibat komplikasi jantung awal pagi ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan di Facebook, mengesahkan Allahyarham menghembus nafas terakhir pada usia 68 tahun, meninggalkan isterinya Fatimahwati Dahlan dan lapan anak.

“Salam takziah diucapkan kepada waris dan keluarga Allahyarham Abdul Hamid. Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solehin. Seangkatan dengan mendiang Datuk R. Arumugam, mendiang Ong Yu Tiang dan mendiang Peter Rajah, Abdul Hamid bersaing hebat untuk mengawal gawang negara.

“Asalnya dipanggil menyertai skuad kebangsaan oleh Allahyarham Jalil Che Din pada 1975, Abdul Hamid menembusi pintu skuad utama apabila dipilih menjadi penjaga gol kedua kepada Arumugam pada pusingan akhir Piala Asia di Iran pada 1976,” menurut FAM.

https://www.facebook.com/plugins/post.php?href=https%3A%2F%2Fwww.facebook.com%2FFAMalaysiaOfficial%2Fposts%2F615713249501915&show_text=true&width=500

Arwah mula menggalas tanggungjawab selaku penjaga gawang utama negara pada 1979 untuk membantu skuad Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 1980 di Kuwait, menjuarai Pestabola Merdeka 1979 dan mengutip pingat emas Sukan SEA 1979.

Namun, atas sebab komitmen kerja, Abdul Hamid menarik diri daripada skuad pra-Olimpik 1980.

Di kancah liga domestik, Allahyarham menganggotai skuad Kelantan yang dibarisi nama-nama besar seperti Nik Fauzi Hassan, Mahadi Yussof, Kamaruddin Mohd Nor, Yassin Mohd Noor, Nik Salleh Nik Man dan Ramli Abdullah, menggantikan Awang Isa selaku penjaga gol utama Kelantan dari 1974 hingga berhijrah ke Sarawak pada 1985.

Abdul Hamid menemani mentornya yang juga bekas jurulatih negara, Mohamed Che Su menghabiskan dua musim di Kuching sebelum kembali ke Kelantan dan mengumumkan persaraannya.

Allahyarham kemudian meneruskan kerjaya selaku jurulatih penjaga gol bersama beberapa pasukan, termasuk Kelantan, Angkatan Tentera, KM Naza, Polis Diraja Malaysia dan Negeri Sembilan.

Di Kota Bharu, anak keempat Allahyarham, Mohd Zaki berkata Abdul Hamid yang menghadapi masalah jantung sejak hampir tiga tahun lepas meninggal dunia di rumahnya di Kampung Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian di sini pada 3.24 pagi tadi.

“Ayah selamat dikebumikan pada 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Chat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, pihak pengurusan Kelantan United (KUFC) menyifatkan pemergian Allahyarham Abdul Hamid sebagai satu kehilangan besar buat pasukan itu dan arena bola sepak negara.

“Allahyarham seorang bersemangat waja, seorang legenda. Walaupun sedang keuzuran, Allahyarham sentiasa berhubung dengan pegawai pasukan bertanyakan perkembangan pasukan.

“Sentiasa ada nasihat darinya kepada kami (KUFC). Doa mengiringi dari kami di KUFC kepada Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan soleh,” menurut KUFC menerusi kenyataan media. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan