ALOR SETAR, 4 Jan : Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina di Kedah ditemukan mati dalam keretanya yang diparkir di depan sebuah pusat beli-belah di Tandop di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai Ng Eng Boon, 44, yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat pemandu dengan enjin kereta masih hidup pada kira-kira 4.07 pagi.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada apa-apa unsur jenayah. Mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk ujian saringan COVID-19 dan seterusnya proses bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK) Kumaran Rajamoney berkata wartawan itu, yang bertugas dengan Sin Chew Daily, adalah seorang kenalan yang baik dan disenangi banyak pihak.
“Kami menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada warga media Kedah,” katanya. -TVS