Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Keluar Warisan bukan sebab kes mahkamah – Peter Anthony

KOTA KINABALU, 29 Dis : Bekas Naib Presiden , Parti Warisan, Datuk Peter Anthony menafikan keputusan beliau ‘angkat kaki’ daripada parti itu ada kena mengena dengan pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya ketika ini.

Sebaliknya, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, pengumuman semalam tidak berkait dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya.

” Pertuduhan kononnya saya memalsukan dokumen itu akan diputuskan mahkamah.

Keputusan berkaitan hala tuju politik yang saya ambil ialah kerana rakyat Sabah memerlukan platform parti politik yang telus kepada kepimpinan negeri ini,” katanya.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, membela diri atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Semalam, Peter yang merupakan ‘orang kuat’ Warisan mencetuskan kejutan dalam politik Negeri Di Bawah Bayu itu apabila mengumumkan keluar parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap partinya.

Turut mengambil keputusan serupa ialah seorang lagi wakil rakyat Warisan yang juga ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

Sementara itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, tindakan Peter bukan sesuatu yang mengejutkan.

Mohd. Shafie berkata, beliau ‘bersimpati’ dengan keputusan berkenaan kerana Peter sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

Berhubung keputusan bekas gandingannya itu untuk menubuhkan parti politik baharu pula, Ahli Parlimen Semporna itu berpandangan, ia hanya akan memecah belah rakyat Sabah.

Sementara itu, Peter turut memberi pandangan beliau berhubung langkah Warisan yang kini ‘melebarkan’ sayap ke Semenanjung.

“Saya melihat Warisan sudah tersasar (berkembang ke Semenanjung). Rakyat Sabah memerlukan platform parti yang benar – benar telus kepada kepimpinan negeri ini,” katanya.

Katanya, dalam perjuangan mempertahankan hak Sabah, tiada guna jika ‘berdiri’ di tempat lain. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan