KUCHING, 30 Dis : Sekumpulan lelaki kelihatan sedang sibuk menjala udang di sebuah kolam yang berlatar belakang pemandangan Gunung Santubong, persis dalam lukisan.
Tidak lama kemudian, udang yang ‘ditangkap’ itu dibawa ke satu sudut tidak jauh dari situ, dibersihkan dan diperap dengan rempah untuk seketika.
Peralatan memanggang sudah tersedia dan satu persatu udang bersaiz besar itu disusun, perlahan – lahan aroma yang membuka selera dapat dihidu.
Momen ini adalah sebahagian daripada aktiviti yang boleh dilakukan sekiranya anda menginap di RB Homestay & Farm, yang terletak di Jalan Sultan Tengah, tidak jauh dari pusat bandar.
Teruja berkongsi keistimewaan inap desa berkenaan, pemiliknya, Ruslan Bujang berkata, lokasi penginapan berkenaan menawarkan konsep ‘dari ladang ke meja’ untuk memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.
Yang dimaksudkan Ruslan sudah pasti ‘tradisi’ menjala udang ternakan dalam kolam ‘di depan’ mata pengunjung dan menyajikan seberapa pantas untuk mengekalkan kesegaran dan rasa manis udang berkenaan.
” Di sini, terdapat tujuh bilik yang disediakan untuk tujuan penginapan.
Percutian anda di sini pasti akan terisi dengan pelbagai aktiviti riadah yang sesuai untuk seisi keluarga seperti memancing, memanah dan berkhemah,” katanya ketika ditemui TVS baru -baru ini.
Jelas Ruslan, homestay berkenaan dibina di atas sebidang tanah ladang dan mempunyai kolam udang air masin sebagai antara tarikan utama.
” Antara perkhidmatan yang membezakan RB Homestay ini dengan inap desa lain ialah kami memiliki enam kolam udang yang terletak tidak jauh dari bilik,” katanya.
Sekiranya anda mencari sisi berbeza yang ditawarkan RB Homestay & Farm pula, penulis mencadangkan supaya menikmati ‘jamuan’ berkonsepkan high tea pada waktu petang, sudah pasti ditemani oleh pemandangan memukau Gunung Santubong.
RB Homestay & Farms turut menyediakan kemudahan berkhemah dan glamping bagi mereka yang menggemari aktiviti luar dan mencari ketenangan.
Menariknya, inap desa ini juga menerima tempahan secara day trip bagi tetamu yang ingin bersantai dan melakukan aktiviti di sini tanpa bermalam.
Bagi mereka yang berminat, tempahan boleh dibuat melalui talian 019-888 8160 atau Facebook RB Homestay & Farms. -TVS