KUCHING, 29 Dis : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberi kebenaran kepada sektor pusat permainan kanak-kanak (arked) di pusat membeli-belah untuk beroperasi mulai 1 Januari 2022.
Bagaimanapun, kebenaran berkenaan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.
JPBN Sarawak dalam satu kenyataan berkata, operator juga perlu memohon kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum memulakan operasi.
Sementara itu, JPBN Sarawak turut mengingatkan bahawa Sarawak ketika ini masih berada dalam Fasa Tiga , Pelan Pemulihan Negara (PPN) .
Sehubungan itu, masa operasi perniagaan yang dibenarkan ialah sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.
Pada masa sama, JPBN Sarawak turut memaklumkan sambutan pra tahun baharu adalah tidak dibenarkan.
“Oleh itu, pihak penguatkuasa akan mempertingkatkan operasi bersepadu dalam tempoh ini untuk memantau pematuhan SOP,” jelas kenyataan itu lagi.
Tegas JPBN Sarawak juga, operator premis perniagaan yang didapati tidak mematuhi arahan tersebut akan dikenakan tindakan kompaun. – TVS