SUNGAI PETANI, 27 Dis : Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan mengakibatkan kematian seorang anggota polis pada Jumaat lepas.
Tertuduh Hairul Azman Abdullah, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan itu, Hairul Azman dituduh memandu lori jenis Hino di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine yang tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dan menyebabkan kematian pemandu kereta Honda City bernama Muhamad Aziem Azman, 34.
Hairul Azman dituduh melakukan kesalahan itu di Kilometer 79.5 Lebuh raya Utara-Selatan, arah Utara dalam kawasan daerah Kuala Muda lebih kurang 2.09 pagi pada 24 Dis lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan dia melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 26 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda Inspektor Syed Ahmad Ridzuan Syed Zainol Abidin manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.
Dalam kemalangan itu, Koperal Muhamad Aziem, 34, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Perlis meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya seorang guru mengalami kecederaan dan anak lelaki mereka berusia empat tahun tidak mengalami kecederaan. -TVS