KUCHING, 23 Dis : Kejayaan besar yang dicapai Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak baru – baru ini telah memberikan semangat kepada gabungan berkenaan untuk terus memacu pembangunan negeri ini.
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ini membuktikan rakyat dan pengundi di sini mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan seterusnya dapat berkhidmat dengan berkesan.
” Oleh itu, GPS akan terus komited kepada usaha pembangunan Sarawak dan menjaga kebajikan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Bersama Rakan Strategik semalam.
Pada PRN Ke-12 Sarawak , Sabtu lepas, GPS yang diterajui Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan sekaligus meraih majoriti tiga perempat.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, sokongan rakyat juga telah diterjemahkan kepada kertas undi selepas mereka memahami pentadbiran dan aspirasi GPS di bawah pimpinan Abang Johari.
” Di bawah pentadbiran beliau (Ketua Menteri), kita (Sarawak) ada catch up plan membabitkan pembangunan infrastruktur dan fizikal,” katanya.
Sementara itu, seramai 55 orang pegawai dan kakitangan JKM Sarawak menerima sijil perkhidmatan cemerlang pada tahun lepas.
Fatimah berkata, beliau berbangga kerana dapat hadir meraikan kakitangan dan pegawai yang komited dan mempamerkan prestasi kerja yang cemerlang. -TVS