Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
SHAH ALAM, 19 Dis -- Suasana di Persiaran Tuanku Ampuan hari ini, yang telah ditenggelami air sehingga pengguna jalan raya tidak dapat meneruskan perjalanan mereka berikutan banjir kilat yang melanda di beberapa tempat sekitar Lembah Klang sejak semalam. Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pagi ini memaklumkan beberapa jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir. Jalan-jalan tersebut termasuk di bawah seliaan kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Klang Utara, Sungai Buloh, Subang Jaya, Kuala Langat, Sepang dan Shah Alam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Banjir bertambah buruk, lebih 21,000 dipindahkan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Dis : Keadaan banjir bertambah buruk di beberapa negeri apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada lebih 21,000 orang tengah hari ini dengan Perak menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut turun padang meninjau mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia dan SK Telok Gong di Klang, Selangor.

Sebanyak 6,242 mangsa ditempatkan di 80 PPS di daerah Klang, Kuala Langat, Petaling, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Langat di negeri itu, menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran zon merah dan hujan lebat melibatkan lapan daerah di Selangor hari ini.

Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 9,851 orang daripada 2,758 keluarga yang ditempatkan di 155 PPS. 

Pertambahan mangsa yang mendadak berbanding 5,189 orang pagi tadi disebabkan peningkatan mangsa di Temerloh yang menyaksikan 20 PPS dibuka pada tengah hari, berbanding dua pada sebelah pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam. 

Beliau berkata pemeriksaan hari ini mendapati tiada mangsa di lokasi kejadian, namun terdapat enam kenderaan termasuk dua lori berada di situ dan difahamkan dalam tindakan untuk dialih oleh pemegang konsesi lebuh raya ANIH Berhad. 

“Kami dimaklumkan operasi mengalih dan membersihkan laluan mungkin mengambil sedikit masa kerana cuaca masih hujan hari ini,” katanya ketika dihubungi. 

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus meningkat dengan 3,877 orang daripada 903 keluarga ditempatkan di 43 PPS.

Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Kapt Mohd Hanif Omar berkata ia membabitkan 22 PPS di Kuala Krai, 15 di Gua Musang dan masing-masing dua di Jeli, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Portal rasmi eBanjir Kelantan melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.57 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.07 m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.09 m); Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah (23.66 m); dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.04 m).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa turut meningkat kepada 326 orang daripada 101 keluarga di daerah Dungun dan Kemaman.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan daerah Kemaman kembali dilanda banjir dengan pembukaan dua PPS.

Di PERAK, sebuah PPS dibuka di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Batu 4 Changkat Jong, Teluk Intan pagi tadi bagi menempatkan 26 mangsa daripada lapan keluarga.

Jurucakap APM berkata kesemua mangsa dipindahkan secara berperingkat setelah kediaman mereka dinaiki air selepas paras Air Sungai Bidor mencecah 3.8 m.

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 465 individu melibatkan 110 keluarga, manakala di MELAKA, seramai 595 orang daripada 121 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah di negeri itu dengan Alor Gajah mencatat 472 mangsa manakala 123 orang di Melaka Tengah.

Tags: Banjir

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan