KUCHING, 18 Dis : Selepas berjaya meraih majoriti mudah 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini meluncur laju apabila menambah 15 kerusi DUN lagi sebentar tadi.
Ini menjadikan jumlah kerusi yang ditawan oleh GPS meningkat kepada 57 kerusi.
Kemenangan terbaharu diraih di DUN Batu Danau, Bukit Kota, Bukit Sari, Senadin, Piasau, Bekenu dan Lambir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengesahkan kemenangan GPS di Jepak, Dalat, Kakus, Meradong, Kabong, Serembu dan Mambong.
Sementara itu, DAP setakat ini bertahan di dua kubu kuat mereka iaitu Pending dan Padungan.
Ahli Parlimen Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen yang membawa harapan besar DAP tumbang di DUN Batu Kawah kepada Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) setakat ini memang kerusi DUN Ba’kelalan dan Engkilili.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang merupakan antara pencabar terkuat juga masih belum berhasil menang sebarang kerusi. -TVS