KAPIT, 19 Dis : Penduduk Rumah Panjang Gon di Nanga Serian, Baleh, kini mampu menarik nafas lega apabila kawasan rumah panjang mereka sudah dapat diakses dengan menggunakan jalan darat dan tidak lagi bergantung kepada pengangkutan sungai.
Menurut Rohana Magai, sebelum ada jalan raya, mereka menggunakan pengangkutan sungai, yang memakan masa yang lama, untuk pergi ke Bandar Kapit.
“Dahulu kita menggunakan bot ekspres untuk berulang-alik. Kadang-kadang bot sesak dengan barang dan keadaan ini sangat berbahaya kepada penumpang.
“Air sungai yang cetek juga menimbulkan kesukaran kepada bot ekspres untuk bergerak dan ini menyebabkan kami di kawasan ulu sungai ini tidak dapat pergi ke bandar. Sekarang kita sudah ada jalan yang baik,” katanya.
Ditanya mengenai kemudahan lain yang diperlukan, Rohana berharap agar kerajaan dapat menyediakan sistem solar hibrid untuk membekalkan elektrik kepada penduduk di rumah panjangnya.
“Setakat ini kita masih menggunakan generator untuk membekalkan tenaga elektrik bagi kegunaan isi rumah. Kalau ada sistem solar, ia dapat membantu kami mendapatkan bekalan elektrik 24 jam,” kata Rohana.
Bagi Charida Gom pula, dengan adanya jalan raya, ia dapat memudahkan mereka untuk membawa hasil tanaman ke kawasan bandar dan menjualnya.
“Kadang-kadang kami membawa hasil tanaman ke pasar Kapit untuk dijual. Tetapi kalau boleh kami mahu kerajaan membina tamu atau pondok untuk kami berniaga di tepi jalan raya berdekatan rumah panjang ini,” katanya.
Charida berkata dengan adanya kemudahan itu nanti, ia dapat membuka peluang ekonomi penduduk kerana selain dijadikan tempat menjual sayur-sayuran, gerai atau kedai makan juga boleh dibina di kawasan yang disediakan.
Selain itu, katanya jumlah kanak-kanak di Rumah Gon semakin bertambah dan sudah sampai masanya untuk mereka mempunyai Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) sendiri.
“Kalau ada Tadika di rumah panjang ini, kita tidak perlu menghantar anak-anak ke tempat yang jauh,” tambahnya.
Sementara itu, Jinggau Jana berharap agar wakil rakyat yang baharu dipilih di kawasan DUN Baleh nanti dapat membawa lebih banyak pembangunan ke kawasannya, terutamanya infrastruktur, dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kita berharap agar jalan yang masuk ke kawasan rumah panjang ini dari jalan raya utama dapat ditambah baik.
“Pada masa yang sama kita mahu rumah panjang ini dibaik-pulih supaya memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal di sini,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak semalam, calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) berusia 36 tahun, Nicholas Kudi anak Jantai Maseng, telah memenangi pertandingan empat penjuru di kawasan Dewan Undangan Negeri N.64 Baleh dengan memperoleh 3,541 undi dan majoriti 1,909 undi.
Beliau dipilih oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk menjadi calon GPS selepas bapa saudaranya, Tan Sri James Jemut Masing, meninggal dunia pada 31 Oktober lalu. – TVS