BELAGA, 17 Dis: Hampir 300 anggota pasukan yang menjaga pusat mengundi di kawasan DUN N.65 Belaga telah bergerak ke lokasi, termasuk dengan menggunakan pengangkutan air.
Menurut Pengurus Pengangkutan Air, Ubau Embol, daripada jumlah tersebut, seramai 200 orang telah digerakkan menggunakan pengangkutan air iaitu bot ekspres dan perahu.
“Disebabkan ada beberapa lokasi pusat mengundi ini jauh, kita terpaksa bergerak awal untuk memudahkan perjalanan mereka.
“Dari segi keselamatan, masing-masing akan dibekalkan dengan baju keselamatan dan sedikit taklimat mengenai keselamatan semasa di dalam ekspres,” katanya ketika ditemui pemberita TVS.
Menurutnya, 10 pasukan menggunakan bot ekspres untuk pergi ke pusat undi di SK Nanga Merit (Saluran 1 dan 2), Rumah Danggat at Nanga Mujan, Rumah Berundang, Rumah Guyang, Rumah Pillai at Nanga Metah, Rumah Setepan at Nanga Pila, dan SK Punan Bah (Saluran 1 dan 2).
Sementara itu, lima pasukan menggunakan perahu untuk pergi ke pusat undi di Uma Punan Biau, Uma Punan Sama, Uma Tanjong Long Pawah, Uma Sekapan Piit, dan SK Airport (Saluran 1 dan 2). – TVS