Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PRN12 Sarawak: Jangan gadai masa depan Sarawak – Abang Johari

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 17 Dis: Demi pembangunan masa depan yang berterusan, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru kepada rakyat di negeri ini untuk melunaskan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada Hari Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak esok.

Beliau yang juga calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong, memberi jaminan bahawa GPS akan meneruskan usaha untuk memastikan keselamatan awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi bagi Sarawak demi masa hadapan.

“Kami pasukan GPS akan sentiasa berusaha untuk melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Malaysia.

“Ini terbukti dengan kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 (Selasa) ,” kata Abang Johari dalam satu kenyataan seruan kepada semua pengundi di negeri Sarawak pada hari ini.

Beliau menegaskan, GPS akan memelihara perpaduan dan keharmonian yang ada di negeri ini, di mana masyarakat berbilang kaum dan agama dapat hidup bersama dengan aman dan bekerja untuk generasi akan datang.

“Janganlah kita menggadaikan masa depan kita. Kita harus mengambil iktibar daripada kegagalan kerajaan PH yang hanya mampu bertahan 22 bulan kerana lemah dan tidak stabil”, ujarnya lagi.

Menurut Abang Johari, masa hadapan Sarawak bergantung kepada kerajaan yang kuat, stabil dan komited untuk mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak.

GPS, yang berpengalaman, cekap, disegani, berintegriti tinggi, dan mempunyai rekod prestasi cemerlang, akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

“Janganlah kita membuat kesilapan. Kita mesti terus memperjuangkan perpaduan, keharmonian, autonomi dan kemakmuran Sarawak,” pesan Abang Johari lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan