Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Suara rakyat di DUN Baleh akan diberi perhatian sepenuhnya – Nicholas Kudi

BySteward Dawi

KAPIT, 16 Dis: Aspirasi dan harapan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh yang inginkan pembangunan bukan sahaja memberi fokus kepada infrastruktur bahkan ekonomi yang akan diberi perhatian sepenuhnya, tegas calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Baleh Nicholas Kudi Jantai Masing.

Beliau berkata pembangunan yang ada di kawasan Baleh tidak akan terhenti dan lebih banyak perancangan akan dibuat bagi menjamin kesejahteraan masyarakat setempat.

“Aspirasi rakyat terutamanya di kawasan ulu sungai dan pedalaman Baleh tidak akan dipandang ringan.

“Selama tujuh tahun saya berkempen bersama mendiang Tan Sri James Jemut Masing dan kita sangat memahami permintaan dan keperluan masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui pemberita TVS semasa program berkempen secara fizikal di Rumah Jimbun Ulak Tapang, Baleh pada Isnin lepas.

Nicholas memberitahu, masyarakat di Baleh sentiasa peka terhadap isu semasa dan tahu kerajaan yang sedia ada merupakan kerajaan stabil yang dapat membawa lebih banyak pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Mereka sendiri sudah melihat pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan GPS sebelum ini dan bukan hanya retorik atau propaganda semata-mata.

“Ini jelas terbukti apabila selama tujuh hari berkempen pengundi-pengundi memberi galakan serta sokongan kepada saya yang menjadi calon baharu GPS.

“Pengundi tegar mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing turut memberi peluang kepada saya untuk menjadi calon di kawasan ini,” katanya.

Sebagai contoh, tambah Nicholas, sebelum ini separuh daripada penghuni di rumah panjang ini yang berpihak kepada parti pembangkang sudah beralih arah dan bersedia untuk menyokong GPS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.

“Ini membuktikan bahawa pengundi di DUN Baleh pandai menilai serta pasti akan membuat keputusan yang bijak apabila hari mengundi menjelang tiba,” tambahnya lagi.

Pada PRN Ke-11, Tan Sri James Jemut Masing berjaya menewaskan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Agop Linson dengan mendapat majoriti 4,843 undi untuk menjadikan mendiang wakil rakyat di DUN Baleh bagi penggal kelapan berturut-turut.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan