GEDONG, 15 Dis : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang berlangsung semasa tempoh pandemik COVID-19 berjalan lancar.
Abang Johari yang juga Pengerusi , Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata , prosedur operasi standard (SOP) pada PRN kali ini juga dilaksana dengan baik dan selamat bagi memastikan kesejahteraan awam terus dijaga.
“Kita mengikut SOP dan saya nampak perkara ini telah berjalan dengan baik. Saya berharap beberapa hari menjelang hari mengundi , kita dapat terus memastikan SOP dipatuhi semua pihak”, katanya ketika temu bual eksklusif bersama TVS malam tadi.
Justeru , beliau menyeru rakyat di negeri ini untuk menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi bagi menentukan kerajaan yang akan membawa kemakmuran Sarawak pada masa hadapan.
“Saya menyeru supaya masyarakat kita keluar mengundi dan itu adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan demokrasi. Saya juga harap cuaca baik pada hari mengundi,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Ke-12 Sarawak. -TVS