SEBUYAU, 14 Dis : Sebuyau yang sebelum ini merupakan daerah kecil kini ‘naik pangkat’ apabila menerima status daerah penuh.
Perkembangan ini menyusul selepas Kerajaan Sarawak mendapati tempo pembangunan yang kian rancak di sini serta kawasan – kawasan sekitar dan lantas memutuskan untuk menjadikannya sebagai daerah penuh.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata , keputusan menjadikan Sebuyau sebagai daerah penuh juga bertitik tolak daripada keupayaan dan hala tuju pembangunan di sini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk membantu masyarakat di luar bandar.
“Kita akan membangunkan Sebuyau dengan mewujudkan New Township, pusat komersial dan rumah mampu milik yang akan di bina di kawasan baharu.
“Ini sekaligus akan menampilkan wajah baharu Sebuyau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sebuyau Sebagai Daerah Baharu di Sarawak di sini hari ini.
Sementara itu, Abang Johari turut memberi jaminan untuk memastikan setiap kemudahan akan disediakan di sini.
“Ini sejajar dengan visi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau turut memberitahu, Sebuyau juga akan mempunyai Majlis Daerah sendiri bagi memudahkan urusan pentadbiran dan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih berkesan kepada penduduk. -TVS