KUCHING, 13 Dis : Cadangan penubuhan syarikat telekomunikasi Sarawak bukanlah sekadar mimpi di siang hari atau ‘projek gajah putih’ sebaliknya satu dasar murni yang bakal melonjakkan Bumi Kenyalang sebagai kuasa ekonomi digital.
Pengurus Besar Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak berkata penubuhan entiti telekomunikasi sedemikian akan membolehkan negeri itu mengubah kehidupan rakyatnya ke arah ekonomi lebih maju menerusi bukan sahaja penggunaan Internet Benda (IoT) malah lebih kepada Internet Segala-galanya (IoE).
“Cadangan penubuhan syarikat telekomunikasi Sarawak adalah agenda yang jauh lebih besar berbanding sekadar memiliki liputan telekomunikasi lebih baik kerana ia sebahagian daripada agenda Perjanjian Malaysia 1963 yang dituntut oleh kerajaan negeri.
“Justeru, memiliki syarikat telekomunikasi kita sendiri akan membolehkan Sarawak mempunyai autonomi dalam alat yang begitu penting bagi membolehkan kita memanfaatkan potensi di semua bidang ekonomi termasuk penbangunan bakat dengan pengakhiran lebih holistik bagi telekomunikasi yang penting dalam ekonomi digital,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dilaporkan berkata Pakatan Harapan tidak akan meneruskan projek mega ‘gajah putih’ termasuk syarikat telekomunikasi Sarawak jika ia mengambil alih kerajaan negeri.
Zaidi juga berkata penubuhan syarikat telekomunikasi Sarawak akan dapat memacu negeri itu lebih jauh dalam memanfaatkan potensi ekonomi digital yang tidak berpenghujung.
Beliau berkata sebagai contoh yang konkrit, ramai rakyat di Sarawak kini menggunakan S pay Global berbanding ketika ia mula-mula diperkenal.
“Ia sudah menjadi e-Dompet pilihan ramai di bandar utama Sarawak untuk perbelanjaan harian mereka seperti di pasar raya, peruncitan dan cawangan kedai makanan serta minuman (F&B),” katanya. -TVS