MUKAH, 12 Dis : Parti – parti politik yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak dibenarkan berkempen menggunakan jet ski di Sungai Batang Oya.
Ketua Polis Daerah Dalat , Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, perkara berkenaan tidak menjadi kesalahan memandangkan DUN ini terletak dalam kawasan yang dibenarkan berkempen secara bersemuka.
” Polis memantau membabitkan aspek keselamatan dan kita lihat mereka (jentera kempen parti politik) yang gunakan jet ski masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Saga berkata, wakil kepada parti yang menggunakan jet ski di sungai berkenaan ketika ini iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut memohon permit pihak polis sebelum melaksanakan kempen pada hari ini.
” Hari ini polis difahamkan kempen menggunakan jet ski itu diteruskan membabitkan 16 penunggang di Kampung Kekan, Sebarang Dalat,” katanya.
Sementara itu, calon GPS kerusi DUN berkenaan, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya mengakui penggunaan kenderaan air berkenaan telah menarik perhatian masyarakat di kawasan itu dan sekitarnya.

“Mereka ini bukan sahaja dari penduduk yang tinggal di sini tetapi penduduk tempatan yang bekerja di luar.Mereka sanggup datang dari Sibu untuk menyertai jentera kami memasang bendera dan berkempen dengan cara mereka sendiri iaitu menggunakan jet ski,” katanya.
Fatimah hari ini turut ‘turun’ ke sungai mencuba jet ski serta memberi semangat kepada jentera kempennya di kawasan itu.
Beliau sekali lagi disandarkan harapan oleh GPS untuk bersaing dengan calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) pada PRN Ke-12 Sarawak ini. -TVS


