BAU, 11 Dis : Kemudahan bekalan air bersih kepada penduduk di daerah ini telah mencapai 100 peratus sejak lima tahun lalu.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, bagi kemudahan penyambung bekalan elektrik pula, ia sudah mencapai 90 peratus.
Jelasnya, bagi kes yang melibatkan rumah yang masih tidak disambung bekalan elektrik adalah kerana ia merupakan rumah yang baharu siap dibina.
” Rumah – rumah ini juga tercicir dari senarai ketika proses penyambungan dan kini sedang cuba diselesaikan,” katanya.
Henry berkata demikian kepada TVS selepas melawat beberapa rumah penduduk di Kampung Boring di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Henry berkata, beliau turut difahamkan masih terdapat beberapa kawasan yang berdepan masalah tekanan air rendah disebabkan kedudukan rumah yang berada di tempat tinggi.
” Sehubungan itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) kini sedang dalam proses menyelesaikan isu sedemikian,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Chin Jiu, 63, berkata, kehidupan keluarganya juga semakin selesa selepas masalah bekalan air dan elektrik telah diselesaikan kerajaan negeri.
” Kehidupan kami di sini lebih selesa dengan adanya bekalan air bersih sejak lima tahun lepas,” katanya.
Pui Biew Men, 52, pula bersyukur kerana masalah bekalan elektrik di situ juga selesai.
“Keluarga saya kini sudah mampu menikmati kemudahan teknologi dengan penggunaan perkakas elektrik dan elektronik seperti orang lain juga,” katanya. -TVS