KAPIT, 10 Dis – Enam penghuni sebuah kuarters guru terselamat dalam satu kebakaran yang memusnahan bangunan tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Metah di sini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Erwandy Tugor,
kebakaran petang Khamis itu dikesan oleh salah seorang penghuni yang bertindak memaklumkan semua ahli keluarga dan jiran sebelah sebelum mereka bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.
Tambahnya, kebakaran tersebut telah menyebabkan kedua-dua rumah tersebut terbakar 100 peratus.
“Pihak kami menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 9.15 malam.
“Laporan kebakaran itu kita terima daripada Guru Besar SK Nanga Metah, Ngadit Sawing yang memaklumkan dua unit kuarters guru jenis separuh kekal telah terbakar 100 peratus dan kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh penduduk rumah panjang pada jam 10 malam,” katanya
Jelas Erwandy, pihaknya hanya dapat bergerak ke lokasi pada pagi Junaat bersama pasukan Jawatankuasa Bencana Daerah Kapit memandangkan faktor akses dan juga perjalanan yang akan melalui laluan Sungai Rajang ke lokasi yang akan mengambil masa 2 jam 30 minit.
Difahamkan, dua rumah kuarters itu didiami oleh seorang guru bersama suami dan dua orang anak manakala sebuah lagi didiami seoramg Pembantu Pengurusan Murid dan seorang anaknya.
Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.- TVS