Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Jambatan Bailey Musi-Buso cetus idea ekonomi penduduk

BAU, 9 Dis : Jambatan Bailey Musi-Buso yang telah siap sejak Mei lepas membuka jalan kepada penduduk di sekitarnya untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Laluan kampung yang dahulunya sunyi kini bertukar menjadi sibuk apabila digunakan sebagai laluan alternatif pengguna jalan raya untuk ke pekan Bau ataupun Kuching.

Menurut Ketua Kaum Kampung Melayu Seberang Buso, Mohd Hafiz Jek, meskipun kampungnya baru sahaja diwujudkan empat tahun yang lalu, itu tidak menghalang mereka untuk mula menanam minat dalam bidang perniagaan seperti pertanian, penternakan dan sebagainya.

Gambar: Mohd Hafiz Jek, Ketua Kaum Kampung Melayu Seberang Buso

“Kami mengimpikan sebuah ‘Waterfront’ di kawasan ini yang dapat dijadikan ruang untuk berniaga.

“Ini tentu sekali menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk di kawasan ini,” katanya kepada TVS baru-baru ini.

Senada dengan Hafiz, Kapitan Kampung Musi, Lim Sui Kiang yang berkata, beliau melihat kepada peluang-peluang ekonomi yang boleh dilakukan di kawasannya.

Gambar: Lim Sui Kiang, Kapitan Kampung Musi

“Setakat ini, kedai-kedai lama memang sudah ada, tetapi masih boleh dinaiktaraf lagi.

“Naiktaraf dari segi infrastruktur asas, lebih-lebih lagi apabila sudah adanya jambatan berkenaan,” jelasnya.

Turut menyuarakan pendapat, Ketua Kaum Kampung Melayu Buso, Sakawi Bujang yang memberitahu perniagaan dalam kalangan penduduknya sudah lama dijalankan namun hanya dalam skala yang kecil sahaja.

Gambar: Sakawi Bujang, Ketua Kaum Kampung Melayu Buso

“Ada yang menjadi nelayan, tukang jahit, bercucuk tanam, menjual kuih muih, menyediakan perkhidmatan gunting rambut dan sebagainya.

“Saya berharap selepas ini perniagaan penduduk akan semakin rancak,” ujarnya.

Lebih 100 orang dari 27 orang isi rumah mendiami kawasan Kampung Melayu Seberang Buso.

Di Kampung Melayu Buso pula, terdapat seramai 330 penduduk dengan melibatkan sekurang-kurangnya 70 buah rumah.

Manakala, untuk Kampung Musi, terdapat 58 buah rumah didirikan dengan seramai lebih 200 orang penduduk.

Jambatan Bailey Musi ke Buso sepanjang 103 meter yang telah siap pada Mei lepas mampu menampung berat kenderaan sehingga 15 tan.

Gambar: Jambatan Bailey Musi-Buso

Jambatan yang menelan belanja sebanyak RM3.88 juta telah memanfaatkan penduduk di empat buah kampung iaitu Kampung Musi, Kampung Melayu Seberang Buso, Kampung Melayu Buso dan Kampung Cina Buso. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan