LUBOK ANTU, 8 Dis : Seorang anggota polis maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan SUV di kilometer (km) 33, Jalan Sri Aman ke Sarikei pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan, Victor Ripon berkata, kemalangan pada pukul 10 pagi itu berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa sedang bergerak dari Betong menuju ke Sri Aman .
” Mangsa dilanggar oleh sebuah Toyota Ispum yang keluar dari Simpang Pekan, Engkilili. Akibat perlanggaran itu, mangsa telah terhumban dari motosikal ke tepi jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ujarnya, mangsa yang bertugas di Balai Polis Skrang berusia 35 tahun terbabit maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
” Polis telah menahan pemandu kenderaan tersebut di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta yang sama,” katanya.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Santubong, Jalan Sultan Tengah, Kuching telah berkahwin mempunyai tiga orang anak berumur setahun hingga tujuh tahun. -TVS