Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

“Lady bos” uruskan 17 kolam ikan tilapia di Kampung Musi

ByOdleen Catherny

BAU, 8 Dis : Sektor penternakan ikan air tawar biasanya dimonopoli oleh usahawan lelaki disebabkan ‘budaya kerja’ yang lasak.

Bagaimanapun, tidak jauh dari Kuching, seorang wanita, Lim Sui Kiang menongkah arus apabila menjadi ‘bos’ kepada perniagaan menternak ikan tilapia merah di Bau.

Lebih mengagumkan, wanita kelahiran Kampung Musi ini telah bertahan selama 20 tahun dalam sektor penternakan ikan kolam dan berjaya membekalkan ikan ke seluruh negeri ini.

“Selain Sarawak, ikan tilapia yang dibela di kolam saya juga dihantar ke Sabah,” katanya ketika ditemui TVS di sini baru – baru ini.

Sui Kiang, 44, berkata, ketika ini di bawah syarikatnya, LSK Aquacutural Enterprise mempunyai 17 buah kolam yang menternak ikan tilapia merah pelbagai saiz.

Ditanya bagaimana dia boleh ‘terjebak’ dalam sektor penternakan, Sui Kiang berkata, dia mempelajari semua proses hanya menerusi pengalaman sahaja.

“Sebenarnya banyak cabaran ketika saya mula menternak dan menjual ikan tilapia kerana tidak mempunyai pengalaman malahan tidak pernah sertai sebarang kursus,” katanya.

Menurutnya antara risiko yang ditanggungnya ialah ribuan ikan yang diternak akan mati sekiranya tersalah cara untuk menguruskannya.

“Sudah pasti saya akan turut mengalami kerugian besar,” katanya.

Berkongsi pengalaman lucu pula, Sui Kiang berkata, dia yang telah mendaftar perniagaannya di bawah nama LSK Aquacutural Enterprise hanya menyedari kesilapan ejaan setelah pulang ke rumah.

“Bagaimanapun saya membiarkan sahaja kerana tidak mahu melalui proses pendaftaran sekali lagi yang memakan masa,” katanya.

Jelasnya, ejaan yang sepatutnya ialah LSK Aquacultural Enterprise tetapi ‘tertinggal’ huruf L pada perkataan Aquacutural.

Sementara itu wanita ini memberitahu, dia sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin bekerja di kolamnya terutamanya golongan muda.

“Saya tidak kisah, asalkan mereka mahu kerja dan rajin, saya boleh bagi kerja, sekurang – kurangnya ada juga pendapatan sebelum mereka sebelum mendapat pekerjaan tetap,” katanya.

Mengulas lanjut, sebagai penduduk di Kampung Musi, Sui Kiang mengakui kedudukan kampung itu yang ‘terpisah’ dengan Pekan Bau oleh Sungai Sarawak Kanan menyebabkan kurangnya pelanggan dari luar kawasan datang membeli ikan.

Namun katanya sejak Jambatan Bailey yang menghubungkan kampung itu dengan Pekan Buso siap, kini dia tidak menang tangan menerima pelanggan.

“Sekarang laluan untuk ke kampung ini sangat mudah. Saya gembira kerana dapat menjadi pembekal kepada penduduk tempatan di sekitar Bau,” katanya.

“Ada antaranya yang datang dari kampung-kampung lain untuk membeli bekalan ikan di sini dan kemudian mereka menjual pula di kawasan masing – masing,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya tentang perancangan selepas ini, Sui Kiang berkata, dia mahu menambah lebih banyak lagi kolam memandangkan masih mempunyai tanah warisan keluarganya.

Sementara itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep ketika dihubungi TVS berkata, pembinaan Jambatan Bailey Musi ke Buso sepanjang 103 meter itu mampu menampung berat kenderaan sehingga 15 tan.

“Ia merupakan projek rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri dan telah siap pada Mei lepas,” katanya.

Ujar beliau lagi, pembinaan jambatan yang bernilai RM3.88 juta itu telah memanfaatkan penduduk di empat buah kampung iaitu Kampung Musi, Kampung Melayu Seberang Buso, Kampung Melayu Buso dan Kampung Cina Buso.  -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan