KUCHING, 6 Dis : Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh akan menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ini selepas penamaan calon selesai kira – kira pukul 10 pagi tadi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Baleh , Robert Liman berkata, selepas tempoh penyerahan borang, Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) menerima dan mengesahkan empat calon layak bertanding pada PRN kali ini.
Katanya, tidak ada calon ditolak kertas pencalonan mereka.
Mengikut urutan dalam kertas undi pertembungan kali ini melibatkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Nicholas Kudi Anak Jantai yang akan menentang wakil DAP, Kenneth Usang George serta calon dari Parti Bumi Kenyalang (PBK),Irwan Surkarno Layau Abdullah.
Calon pada kedudukan terakhir ialah Koh Anak Kumbong yang bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Pada PRN Ke-11 lalu, mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing berjaya mempertahankan DUN Baleh untuk penggal kelapan berturut -turut selepas menumpaskan Agop Anak Linsong iaitu dengan majoriti 4,843 undi. -TVS