DALAT, 6 Dis : Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat , Salleh Mahali diarahkan untuk masuk ke bilik isolasi apabila bacaan suhu badannya mencecah 38 darjah Celsius ketika tiba di Dewan Masyarakat Dalat pagi ini.
Salleh yang bertanding atas tiket Parti Bumi Kenyalang yang tiba kira – kira pukul 9 pagi diarah berbuat demikian sebagai langkah berjaga – jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.
Setelah sejam ‘berehat’, dia dibenarkan masuk ke dewan untuk menyelesaikan proses penyerahan borang untuk bertanding sebagai calon.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan kepada TVS ujian calitan COVID-19 dilakukan terhadap Salleh yang kemudian mendapati beliau negatif virus berkenaan.
Terdahulu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kerusi DUN berkenaan , Dato Sri Fatimah Abdullah yang tiba awal dan mendoakan semoga urusan semua calon dan petugas SPR hari ini berjalan lancar. -TVS