DALAT, 6 Dis : Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah mendoakan agar proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang sedang berlangsung ketika ini berjalan lancar.
Fatimah berkata, beliau secara peribadi mendoakan semoga urusan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan calon – calon yang bertanding dipermudahkan.
” Marilah kita mendoakan yang terbaik. Amin,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum masuk menyerahkan borang pencalonan di Dewan Masyarakat Dalat di sini hari ini.
Pada PRN Ke-11 lalu, Fatimah menang kerusi berkenaan dengan meraih 7,107 undi sekaligus menewaskan calon PKR, Sim Eng Hua yang mengumpul 777 undi.
Sementara itu, Fatimah turut menyuarakan keyakinan beliau pada kempen PRN kali ini yang menurutnya jentera GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah bersedia. -TVS