BELAGA, 5 Dis : Usianya baharu mencecah 25 tahun, namun Suraila Ella daripada masyarakat Orang Ulu boleh berbangga kerana mampu menguruskan kebun sayur milik keluarganya di sini.
Gadis berbangsa Kenyah dari Uma Lebu Kulit, Sungai Koyan ini tekad mengusahakan kaedah penanaman sayur -sayuran mengguna sistem terbuka sejak 2017 lalu selepas menghabiskan pengajiannya di Politeknik Mukah.
“Selepas saya habis belajar, saya hanya tolong ibu bapa ke kebun untuk mencabut rumput dan belajar bagaimana proses menanam sayur. Sejak itu, timbulah minat untuk menguruskan kebun ini,” katanya kepada TVS di sini baru – baru ini.
Bercerita lanjut, anak ketiga daripada lima adik beradik itu bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh ibu bapanya untuk dia mengusahakan tanah seluas dua hektar milik keluarnya.
Seperti petani lain, Suraila berkata , dirinya juga pernah diuji apabila tanaman sayur yang diusahakan diserang penyakit.
“ Ketika itu sayur yang ditanam telah diserang siput dan memaksa kami berusaha untuk atasinya. Bagaimanapun ia tidak menjadi halangan untuk saya menjadi pembekal sayur- sayuran kepada peniaga disini,” katanya lagi.
Ditanya sama ada dia bercadang untuk mencari pekerjaan lain pada masa depan , Suraila berkata, dia tidak akan beralih angin kerana bidang pertanian yang diceburinya ketika ini memberi pulangan lumayan mencecah RM6,000 sebulan.
Sebelum ini, Suraila pernah mendapat diiktiraf sebagai petani contoh sebanyak tiga kali daripada Jabatan Pertanian Bahagian Kapit. -TVS